Tip Memilih Buku Untuk Kanak-kanak Bawah 6 Tahun



Assalamualaikum w.b.t.
Sejak akhir-akhir ni, saya gemar membawa anak ke perpustakaan dan kedai buku. Saya mahu anak-anak saya seorang yang cintakan buku dan gemar membaca. Kerana semakin banyak kita membaca, semakin banyak ilmu yang kita dapat. Saya berpegang kepada ayat ni " Membaca Jambatan Ilmu ", sedangkan surah yang pertama turun untuk nabi kita pun menyuruh untuk Membaca. Terlalu banyak
manfaat yang kita dapat dari membaca.
Tetapi adakah kita tahu bagaimana memilih buku yang sesuai untuk anak kita? Jom baca tip yang saya kongsi ini, semoga membantu ibu bapa untuk memilih buku yang sesuai untuk anak masing-masing.

1- Sesuai dengan umur anak
Semasa memilih buku untuk anak, kita harus mengetahui buku yang macam mana sesuai dengan umur anak kita. Berikan buku yang berunsur tauladan dan memberi nilai-nilai murni. Ibu bapa mungkin boleh memilih buku berdasarkan minat anak-anak. Contohnya jika anak anda meminati kenderaan, maka ibu bapa bolehlah belikan anak buku berkisarkan kenderaan.

2- Hard-Cover
Anak-anak yang masih kecil mungkin sukar untuk membelek halaman-halaman buku kerana diperbuat daripada kertas nipis seperti kertas A4. Ini akan membuatkan buku cepat koyak atau ronyok. Apa kata, semasa membeli buku untuk anak, belikan mereka buku yang lembarannya diperbuat daripada kertas yang keras. Selain memudahkan anak untuk membuka lembaran buku, ia juga akan menjimatkan ibu bapa daripada membeli buku baru akibat buku lama sudah pun terkoyak.

3- Menarik
Belikan anak buku yang menarik seperti buku yang berwarna. Kanak-kanak suka sesuatu yang berwarna-warni. Bayangkan jika kita membeli buku yang hanya berwarna hitam putih, mereka tentunya kurang berminat terhadap buku tersebut dan seterusnya akan berasa bosan.

4- Ayat-ayat pendek dan tulisan ( font ) bersaiz besar
Belikan anak-anak buku yang mempunyai ayat-ayat yang pendek, dan mudah difahami. Jika anak anda sudah pandai membaca, belikan mereka buku yang tulisan didalamnya menggunakan font yang besar supaya memudahkan mereka melihat setiap perkataan di dalamnya.
Elakkan membeli buku yang perkataannya mungkin sukar difahami oleh si anak ( seperti ayat yang terlalu bombastik contoh metropolitan, wasilah, hedonisme )..ntah-ntah ibu bapa pun tak faham perkataan tersebut.

5- Mudah dibersihkan
Selain membaca, saya gemar untuk bermain permainan " Find It " bersama anak menggunakan gambar-gambar yang ada di dalam buku. Saya akan memberikan markerboard pada anak dan menyuruh dia untuk membuat bulatan pada gambar yang saya mahukan dia cari. Selepas bermain, saya akan bersihkan buku itu semula untuk digunakan pada masa hadapan.
Selalunya buku yang mudah dibersihkan terdiri daripada buku yang diperbuat daripada kertas yang keras ataupun buku kanak-kanak yang diperbuat daripada kain. Jika di perbuat daripada kain, sekiranya buku tersebut kotor ibu bapa boleh membersihkannya dengan menggunakan air.

No comments:

Post a Comment